Pengesahan Sekali Lagi?

Fiqih Muamalah, 7 Mei 2026

Pertanyaan:

Assalamualaikum, Maaf kerana sering mengirim konsultasi di sini. Berkaitan masalah saya yang pernah saya kirim. 

(https://www.konsultasisyariah.net/konsultasi/detail/24593/tidak-pasti-terlafaz.html)

Pada awal Januari 2025, saya telah membuat pengesahan di Mahkamah Syariah. Namun, sehingga kini saya masih merasa risau sama ada saya telah memberikan keterangan yang jujur atau tidak kepada pihak mahkamah.

Semasa di Mahkamah Syariah, hakim bertanya tentang lafaz tersebut. Pada mulanya, saya tidak dapat menjawab kerana fikiran saya bercelaru memikirkan ayat yang tepat; sama ada ayat itu lengkap atau tidak, dan sama ada saya menyebut tal_k 1 atau tal_k 3. Disebabkan tiada lafaz yang jelas untuk disahkan, hakim tidak dapat membuat keputusan pada awalnya.

Bagi meneruskan perbicaraan, saya memberitahu hakim ayat yang mungkin saya terlafaz pada 22 September 2024 iaitu (sebagai contoh) "Saya cer_i awak". Hakim turut bertanya kepada isteri saya sama ada beliau mendengar lafaz tersebut, dan isteri menjawab, "Tidak, kerana saya (isteri) tiada di rumah pada waktu itu." Hakim kemudian bertanya tentang tahap keyakinan saya terhadap lafaz tersebut. Saya menjawab bahawa keyakinan saya hanyalah 50-50; kadangkala saya rasa ia terucap di mulut, dan kadangkala saya rasa ia hanya di dalam hati. Kesannya, mahkamah memutuskan bahawa tiada talak yang berlaku (tidak sabit).

Selepas pengesahan tersebut, saya sering dibelenggu kebimbangan sama ada keterangan yang saya berikan itu betul atau tidak. Saya berasa tidak tenang kerana tidak memaklumkan mahkamah mengenai keraguan saya sama ada saya menyebut tal_k 1 atau tal_k 3, hanya beritahu mahkamah ayatnya (sebagai contoh)"Saya cer_i awak" sahaja. Sudah beberapa bulan berlalu, namun saya masih dihantui perkara ini. Saya sering berfikir berlebihan (overthinking) dan sukar untuk memastikan apa yang sebenarnya berlaku pada tarikh tersebut—sama ada suara saya benar-benar keluar, sama ada saya menyebut nama isteri atau tidak, atau sama ada saya menyebut talak 1 atau 3. Saya rasa gangguan ini berpunca daripada kebimbangan saya jika keterangan di mahkamah dahulu tidak tepat. Adakah saya perlu melakukan pengesahan sekali lagi?

Sehingga hari ini, saya masih tertanya mana satu ayat terlafaz waktu itu :

1. Adakah lafaznya keluar suara atau tidak?

2. Aku cer_i tal_k 1 (atau tal_k 3) - tidak sebut isteri atau tiada objek

3. Cer_i tal_k 1 (atau tal_k 3) - tidak sebut "Aku" dan "Isteri"

4. Kalau aku cer_i tal_k 1 (atau 3) - ada perkataan kalau

 

5. Aku cer_i engkau/isteriku/nama isteri tal_k 1 (atau tal_k 3)



-- Mohammad (Kuala Lumpur)

Jawaban:

Waalaikumussalam warahmatullahi wa barakaatuh.
 
Berdasarkan situasi yang anda jelaskan, hukum asalnya adalah talak tidak jatuh.
Berikut adalah panduan berdasarkan syarak dan situasi mahkamah anda :
  • Keyakinan 50-50 (Syak): Dalam kaedah fiqh, “Al-yaqin la yuzalu bisy-syak” (Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan keraguan). Apabila anda yakin 50-50 (antara lafaz dan tidak), bermakna tiada keyakinan yang kukuh lafaz itu berlaku.
  • Keputusan Mahkamah Muktamad: Mahkamah Syariah memutuskan tiada talak (tidak sabit) berdasarkan keterangan anda bahawa keyakinan adalah 50-50 dan isteri tidak mendengar. Keputusan ini dibuat berdasarkan bukti yang ada pada waktu itu.
  • Keterangan di Mahkamah: Anda memberikan keterangan berdasarkan apa yang mungkin terlafaz, dan hakim mendapati keraguan itu (50-50) cukup untuk memutuskan tiada talak.
  • Perlu Pengesahan Semula? Jika anda tidak mempunyai bukti baru yang nyata (contohnya rakaman suara) dan hanya berdasarkan perasaan was-was yang berterusan, anda tidak perlu mengesahkan semula di mahkamah.
Nasihat:
  1. Hentikan Mengingat: Berhenti memaksa diri mengingat perkara 22 September 2024 itu. Syaitan suka menimbulkan was-was dalam perkara talak.
  2. Pegang Keputusan Mahkamah: Anggaplah perkara itu selesai dan sahkan bahawa anda dan isteri masih suami isteri yang sah.
  3. Tolak Was-was: Setiap kali terfikir "adakah saya sebut...", ucapkan "tidak, ia hanya lintasan hati".
Keraguan yang timbul selepas keputusan mahkamah tidak menjejaskan keputusan yang telah dibuat. Teruskan kehidupan berumah tangga dengan tenang.
 
Demikian, semoga Allah berkenan untuk memberikan kemudahan, taufiq dan ridho-Nya
Wallahu a'lam bishshawaab
 
Wassalaamu 'alaikum wrwb.


-- Agung Cahyadi, MA